Friday 8 March 2013

Bahagia sekali derita berkali-kali

As Salam & Selamat Sejahtera (^_^)

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Dua kes dipaparkan merupakan antara ratusan kes membabitkan perkahwinan tanpa restu ibu bapa yang dikendalikan oleh kaunselor perkahwinan terkenal, Suzana Ghazali.

Atas alasan cinta itu buta, pasangan yang asyik berkasih-sayang sanggup melakukan apa saja asal dapat hidup bersama.

Kesan perkahwinan tanpa restu sebenarnya lebih dirasai ibu bapa yang sudah pasti tercalar hati dan perasaan dek tindakan si anak yang sejak lahir ditatang bagai minyak yang penuh.

Namun, ini bukannya bermakna menidakkan hak anak dalam memilih pasangan, cuma mencari jalan terbaik menangani dilema ini agar tidak ada yang menang jadi abu kalah jadi arang.

Menurut Suzana, pelbagai implikasi wujud akibat perkahwinan tanpa restu sekali gus menjejaskan kualiti pembangunan keluarga dan seterusnya masyarakat.

Jika diteliti, perkahwinan tanpa restu juga menyumbang kepada meningkatnya angka perceraian yang natijahnya melibatkan psikologi pasangan terbabit serta hak kasih sayang anak yang sepatutnya dicurahkan oleh ibu bapa masing-masing.

Dilema utama pasangan yang berkahwin tanpa restu ialah untuk hidup dalam suasana harmoni, berkeluarga seperti pasangan normal lain.

Bak kata Suzana, ada kes ibu bapa yang tetap tidak boleh menerima menantu tapi hanya terima si anak.

Maka, dilema si anak ialah untuk bersatu bersama keluarga dan pasangan pada masa yang sama.

"Masalah-masalah lain akan timbul bila terasa diri tidak diterima maka pasangan pula menjadi tempat melepaskan geram.

"Pengalaman saya, bila pasangan berkahwin tanpa restu ibu bapa, kebanyakannya akan sukar untuk bahagia.

"Akan ada saja masalah yang dihadapi yang menjadikan perkahwinan seakan panas, tak serasi, susah nak tenang dan hidup bersama walaupun perkahwinan dibina atas dasar cinta yang membara.

"Tak semestinya sejak awal perkahwinan tapi ada kes, masalah dirasai pada tahun ke dua atau ke lima atau mungkin juga ke-10 yang apabila dibongkar puncanya ialah tidak mendapat restu ibu bapa sepenuhnya.

"Bermaksud ibu bapa memberi restu tetapi tidak sepenuh hati. Ini juga boleh membawa kepada masalah dalam perkahwinan," jelas Suzana yang juga merupakan seorang peguam syarie.

Sebagai kaunselor perkahwinan, Suzana mengakui menerima kes seperti itu dengan nisbah tiga daripada 10 perkahwinan.

Dia juga telah mengenal pasti beberapa punca mengapa terjadinya senario itu dan kebanyakannya kerana kedegilan si anak sendiri.

"Biasanya ibu bapa tidak menerima calon pilihan si anak atas sebab tersendiri. Memang diakui, ada sebab-sebab halangan itu tidak munasabah mengikut syariat.

"Tetapi jika pasangan berkahwin juga tanpa restu dan melukakan hati ibu bapa, ia tetap dianggap tindakan yang kurang bijak kerana meminggirkan dua insan yang menyebabkan kita wujud di dunia ini.

"Sebaiknya usahakan agar ibu bapa lembut hati dan memberi restu. Si anak jangan pendek akal, bertindak hanya bermatlamatkan cinta, sanggup membuang ibu bapa dan secara sengaja telah pun menconteng arang di muka ibu bapa.

"Memang mereka tidak buat maksiat, berkahwin ikut syariat tapi perkahwinan itu sendiri mempunyai lima hukum mengikut kriteria setiap individu.

"Bahkan negara kita khususnya di mahkamah syariah, ada peruntukan untuk memaksa ibu bapa memberi restu atas perintah mahkamah iaitu memerintahkan si bapa untuk mewalikan perkahwinan si anak perempuan jika didapati alasan si bapa menolak calon pilihan si anak tadi tidak munasabah menurut syariat.

"Mungkin nampak seakan memaksa tetapi biasanya bila si bapa tahu dan sedar penolakannya tidak diiktiraf syariat, bapa boleh kendur hati dan cuba menerima.

"Secara tak langsung, restu tetap ada walau tak sepenuhnya dan tugas si anak dan menantu untuk berusaha mendapatkan restu sepenuhnya pula selepas itu.

" Kalau kahwin senyap-senyap, menyukarkan lagi keadaan jadinya," katanya panjang lebar.

Bantu si anak

Menurut Suzana, kebanyakan pasangan yang telah berkahwin mula sedar sebab dan alasan cinta mereka tidak direstui sebelum ini iaitu pasangan tidak secocok dan sesuai.

Pada ketika itu mereka mula menanam yang negatif sahaja mengenai pasangan di fikiran. Bila keadaan ini berlaku, biasanya sukar didamaikan dan akan berakhir dengan perpisahan.

Bagaimanapun tidak bermakna semua hubungan yang bermula tanpa restu ibu bapa tidak boleh diteruskan.

Kata Suzana, sebenarnya boleh dan ada peluang untuk meraih kebahagiaan dengan syarat suami dan isteri perbaiki diri dan usahakan untuk mendapatkan restu ibu bapa.

"Pernah ada beberapa kes yang saya hadapi, perkahwinan mampu kekal bahagia hingga ke akhir hayat bila usaha mendapatkan restu diperoleh, sama-sama dilaksanakan peranan dan tanggungjawab yang dituntut oleh syariat.

"Sebaiknya apa yang boleh dinasihatkan pada pasangan yang mahu meneruskan hubungan ialah jangan berkahwin tanpa restu ibu bapa.

"Ada sebab kenapa ibu bapa tak suka. Mungkin ibu bapa belum betul-betul kenal dengan pasangan anda atau ada sikap atau faktor tertentu yang menyebabkan pasangan anda tidak boleh diterima.

"Jalan terbaik, jika tidak berlawanan dengan syariat, ubah sikap atau faktor yang tidak disukai tersebut. Pujuk ibu bapa dengan baik.

"Sebagai anak, anda perlu buktikan cinta anda kepada ibu bapa melebihi kasih anda kepada si dia. Bila anda mampu buktikan kekuatan kasih anda kepada ibu bapa melebihi kasih anda kepada kekasih, ibu bapa akan hormati anda, lebih menyayangi anda dan tidak mustahil, akan tiba satu masa, pilihan anda akan menjadi pilihannya juga. Cuma perlu berusaha, bersabar, solat dan doa kepada-Nya kata Suzana.

"Jangan memaksa pasangan anda memilih antara anda atau ibu bapanya kerana anda akan memburukkan lagi keadaan. Dari situ nampak jelas anda bukan calon menantu yang baik kerana belum menjadi pasangan yang sah, sudah mahu memutuskan hubungan antara ibu bapa dan anak.

"Pesanan saya buat ibu bapa - jika calon menantu bukan pilihan anda tetapi tetap digilai si anak, bantu si anak jadikan kekasihnya calon pilihan anda dengan usaha dan doa. Jangan sesekali musnahkan kebahagiaan masa depan anak anda gara-gara mengikutkan emosi anda sendiri," katanya lagi.
Perkahwinan yang mendapat restu ibu bapa pastinya lebih manis dan diberkati.
Sumber : UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment